NOTA KURSUS PAD 120

 

INTRODUCTION TO POLITICAL SCIENCE

 

Nota kursus ini disusun mengikut topik yang terdapat dalam sukatan pelajaran (syllabus) PAD 120. Pelajar dikehendaki membaca  dengan teliti semua aspek sesuatu topik yang diterangkan dalam nota ini.

 

 

ARISTOKRASI (ARISTOCRACY)

 

Definisi

Aristokrasi merupakan sebentuk kerajaan di mana kuasa politik terletak di tangan rakyat yang terdiri daripada sekumpulan kecil yang dianggap sebagai paling  layak untuk memerintah. Biasanya, aristokrasi berasaskan kepada kekayaan, kebijaksanaan, keturunan, hartanah, kuasa tentera, kaum, kedudukan istimewa dalam masyarakat atau  pencapaian dalam bidang kebudayaan atau perniagaan.

 

Ciri-ciri

  1. Dalam corak pemerintahan Aristokrasi, kumpulan yang memegang kuasa tergolong kepada satu kelas sosial yang mempunyai keistemewaan. Keistimewaan ini tidak terdapat di kalangan orang-orang kebanyakan. Pemerintah juga terdiri daripada golongan terpelajar dan pakar-pakar dalam bidang industri, perniagaan, agama dan pentadbiran awam.

 

  1. Aristokrasi telah wujud dan berkembang dalam rangka monarki (pemerintahan beraja).

 

Contoh

Di England dari 1688 hingga 1832 sekumpulan Aristokrat yang mempunyai hartanah telah memerintah negara itu. Dalam abad yang ke-18, Aristokrasi telah wujud di Perancis tetapi ditamatkan berikutan Revolusi Perancis. Aristokrasi telah hapus kerana inflasi yang telah menjejaskan pendapatan yang tetap, kehilangan peranan tentera yang dimainkan oleh aristokrasi turun-temurun, pembangunan industri dan kemerosotan kepentingan hartanah.

 

 

AUTOKRASI (AUTOCRACY)

 

Definisi

Autokrasi merupakan sebentuk kerajaan di mana kuasa dan autoriti untuk memerintah negara  terletak di tangan seorang atau satu parti politik. Pemerintah ini biasanya dikenali sebagai ‘dictator’. Pada zaman dahulu, kebanyakan pemerintah autocrat telah mengekalkan kuasa serta kedudukan autoriti mereka melalui pewarisan (harta pusaka) atau melalui penggunaan kuasa tanpa belas kasihan.

 

Contoh

Contoh-contoh kerajaan autokratik ialah: Negara Jerman di bawah Adolf Hitler, Indonesia di bawah Suharto, Filipina di bawah pemerintahan Ferdinand Marcos, Cuba di bawah pemerintahan  Fidel Castro  Chile di bawah pemerintahan Augusto Pinochet (1973-1990),  Iraq di bawah Saddam Hussein dan Libya di bawah Muamar Qaddafi.

 

Ciri-ciri

a.    Di bawah sistem kerajaan ini, pemerintah mempunyai semua kuasa politik, ekonomi, tentera dan kehakiman.

 

b.   Pemerintah menentukan nilai-nilai masyarakat dan mengawal selok-belok (semua aspek) kehidupan rakyat – iaitu, mengawal kehendak dan  pilihan rakyat; memantau pengerakan rakyat; menghadkan kebebasan mereka; dan mengawal media massa.

c.    Bentuk kerajaan ini mempunyai sesuatu ideologi yang tertentu dan seluruh rakyat dikehendaki menganut (mengikut) ideologi itu.

 

d.   Di bawah bentuk kerajaan  ini, pematuhan kepada arahan pemerintah dititikberatkan dan hak-hak asasi rakyat tidak dianggap penting – hanya maruah dan ideologi negara diberi keutamaan.

 

e.    Jika dibandingkan dengan pemerintahan berdemokrasi, sistem politik ini tidak memberi pertimbangan yang sewajar  kepada suara dan kepentingan dan kemahuan rakyat- rakyat tertakluk kepada penyeksaan dan penindasan jika menentang pemerintah atau arahan, dasar dan programnya. Boleh dikatakan autokrasi adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

 

 

AUTORITI (AUTHORITY)

 

Definisi

Autoriti merupakan kuasa yang sah dan diterima umum. Autoriti boleh juga didefinisikan sebagai hak untuk menuntut rasa hormat, kuasa untuk membuat sesuatu keputusan dan kuasa untuk memberi arahan atau perintah.

 

Autoriti juga ditakrifkan sebagai hubungan antara individu, seorang ketua dan  seorang lagi subordinat.

Biasanya, autoriti dikaitkan dengan seseorang pemimpin.

 

Ciri-ciri

  1. Legitimasi (keabsahan) merupakan ciri utama autoriti.

 

  1. Satu lagi ciri autoriti ialah penguasaan. Autoriti merupakan keupayaan seseorang untuk memberi perintah atau arahan kepada orang lain. Seseorang yang mempunyai autoriti menguasai orang lain. Autoriti ialah perintah yang dikeluarkan oleh pihak atasan kepada orang bawahan.

 

  1. Akauntabiliti (kebertanggungjawapan) merupakan satu lagi ciri utama autoriti. Seseorang yang mempunyai autoriti adalah juga bertanggungjawab kepada orang atasannya.

 

  1. ‘Logic’  merupakan satu lagi ciri autoriti. Seseorang yang mempunyai autoriti memberi alasan-alasan yang kukuh untuk sesuatu tindakan yang diambilnya atau sesuatu keputusanya. Kita terima autoriti kerana ia berasaskan logik.

 

  1. Autoriti mengawal tingkah laku orang melalui kata-kata serta ucapan dan bukan melalui paksaan atau kekerasan.

 

  1. Autoriti berpunca daripada jawatan yang dipegang oleh seseorang; undang-undang; harta dan kekayaan seseorang; dan sifat-sifat peribadi seseorang seperti kebolehan berpidato; kebolehan untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara berkesan; karisma (daya penarikan) seseorang; kejujuran, bersih, cekap dan amanah dan kepakaran dan pengalaman dalam sesuatu bidang khusus (seperti agama, ekonomi, undang-undang,dll).

 

Jenis-jenis*

* Sila lihat contoh jawapan bagi soalan peperiksaan

 

Bagaimana seseorang pemimpin boleh hilangkan autoritinya?

 

Seseorang pemimpin boleh hilangkan autoritinya apabila kerajaannya tidak mempunyai kekuatan tentera yang mencukupi untuk menumpaskan pemberontakan  dalam negaranya. Rasuah yang berleluasa, ketidakadilan, ketiadaan kestabilan politik dan ekonomi, pengangguran yang berleluasa, kemiskinan dan juga ketidakcekapan pentadbiran, kepimpinan yang tak bijaksana, tidak adil dan tidak tegas akan menyebabkan seseorang pemimpin hilangkan autoritinya.

 

 

DEMOKRASI (DEMOCRACY)

 

Takrif

Demokrasi merupakan sebentuk kerajaan di mana pemerintahan dijalankan oleh rakyat. Demokrasi bererti “kuasa rakyat”.

 

Demokrasi boleh juga didefinisikan sebagai pemerintahan majoriti dengan perlindungan hak-hak minoriti. Abraham Lincoln telah mentakrifkan demokrasi sebagai “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.”

Dalam kata lain, demokrasi merupakan sebentuk kerajaan di mana rakyat mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin-pemimpin mengikut kehendak mereka serta mengawasi pemimpin-pemimpin mereka.

 

Jenis-jenis

Terdapat dua jenis demokrasi: demokrasi cara langsung (direct democracy) dan demokrasi tidak langsung atau demokrasi perwakilan (indirect democracy or representative democracy).

 

Di bawah demokrasi cara langsung, rakyat memerintah secara langsung. Semua rakyat di sesuatu kawasan berkumpul di satu tempat yang terbuka (seperti dewan orang ramai/masyarakat) dan menentukan undang-undang, program serta dasar kerajaan. Mereka juga melantik penjawat-penjawat awam (pegawai-pegawai awam).

 

Demokrasi corak ini telah diamalkan di Greece dan Rom pada purbakala. Hari ini demokrasi cara langsung dilaksanakan di beberapa Canton di Switzerland. Di negara-negara moden demokrasi bentuk ini tidak dapat diamalkan kerana penduduknya terdiri daripada berjuta-juta orang.

 

Di bawah demokrasi tidak langsung, rakyat memilih wakil-wakil mereka semasa pilihanraya umum diadakan secara berkala (pada lazimnya sekali dalam lima tahun) dan wakil-wakil yang dipilih itu mentadbir kerajaan: mereka menggubal, meluluskan  serta menguatkuasakan  undang-undang dan dasar-dasar demi kepentingan seluruh raykat.

 

Di bawah sistem demokrasi ini, punca kuasa terakhir terletak di tangan rakyat. Wakil-wakil yang dipilih bagi sesuatu tempoh tertentu melapor balik kepada semua pengundi. Ini adalah kerana mereka bertanggungjawab kepada rakyat. Pengundi menilai prestasi wakil-wakil itu dan menentukan sama ada atau tidak wakil-wakil itu perlu dipilih semula  bagi sesuatu tempoh yang lain. Rakyat mempunyai kuasa tertinggi untuk menentukan masa depan pemimpin dan kerajaan mereka. Rakyat boleh menolak sama sekali mereka yang tidak layak, yang tidak berkesan dan cekap, yang tidak jujur dan yang mementingkan diri sendiri tanpa mengira kepentingan semua rakyat.

 

Ciri-ciri

Sila lihat Contoh Jawapan bagi Soalan Peperiksaan.

 

Kebaikan (Advantages)

Demokrasi berlandaskan kepada prinsip “seorang seundi.” Di bawah sistem demokrasi,  individu dianggap penting dan pelbagai hak diberikannya bagi mengembangkan personaliti serta potensinya. Kebebasan asasi rakyat dilindungi dan kehendak/kepentingan golongan majoriti diberi penekanan. Di samping itu, suara dan hak golongan minoriti juga diambil kira. Demokrasi merupakan kerajaan mengikut persetujuan, perundingan dan perbincangan. Demokrasi merupakan sebentuk kerajaan yng bertanggungjawab: cara pemilihan pemimpin dan cara kawalan oleh rakyat menjadikan sesebuah kerajaan bertanggungjawab. Jika prestasi dan rekod seseorang pemimpin tidak memuaskan, rakyat mempunyai hak dan kuasa untuk menyingkirkannya. Tambahan pula, demokrasi menekankan keluhuran undang-undang: ini bermakna semua rakyat tertakluk kepada undang-undang yang sama dan semua rakyat dianggap sebagai sama rata di sisi undang-undang.

 

Keburukan (Disadvantages)

Demokrasi merupakan sebentuk kerajaan yang mahal. Ini adalah kerana di bawah sistem politik ini, pilihanraya umum perlu diadakan setiap lima tahun dan ini melibatkan perbelanjaan yang terlalu tinggi (berjuta-juta Ringgit perlu dibelanjakan). Di samping itu, kadang kala hak golongan minoriti tidak dilindungi.

 

Sesuatu keputusan mengambil masa yang agak panjang kerana keputusan dikehendaki dibuat melalui proses tertentu (seperti parlimen, kabinet, dll). Parti-parti politik menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan rakyat apabila mereka membangkitkan isu / perkara sensitif (seperti perkauman, agama, bahasa, kedudukan ekonomi sesuatu kaum atau keistimewaan sesuatu kaum) bagi memancing undi atau untuk mendapat sokongan daripada rakyat semasa pilihanraya. “Politik wang” juga digunakan untuk mendapat/memancing  undi semasa pilihanraya.

 

Syarat-syarat untuk memastikan demokrasi berjaya

Bagi memastikan demikrasi berjaya, syarat-syarat yang dinyatakan di bawah ini adalah diperlukan:

 

a.    Rakyat perlu berpendidikan yang boleh membantu mereka membuat keputusan yang bijaksana, adil dan munasabah, terutamanya semasa pilihanraya umum. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan pendidikan percuma dan wajib untuk semua rakyat.

 

b.    Rakyat perlu mempunyai integriti dan kejujuran yang tinggi. Rasuah perlu dihapuskan sama sekali.

 

c.    Rakyat perlu mempunyai sikap toleransi, bertanggungjawab dan bersedia menerima keputusan golongan majoriti serta hak golongan minoriti.

 

d.    Kepimpinan yang baik dan berkesan, cekap, bersih, adil, jujur dan amanah diperlukan bagi memastikan kerajaan berjalan lancar tanpa apa-apa hambatan atau halangan..

 

e.    Media massa perlu memainkan peranannya secara bebas dan tidak berat sebelah dan adil dalam menyebarkan maklumat dan fakta kepada rakyat.

 

f.     Rakyat perlu menunjukkan minat dalam hal-ehwal negara dan politik. Mereka perlu mengambil bahagian secara cergas dan giat dalam pentadbiran dan politik  negara. Mereka perlu mengkikiskan sikap acuh tak acuh / endah tak endah (apathy) dan terlibat dalam membela hak-hak mereka. Mereka juga perlu menunjukkan kesedaran tentang isu-isu semasa negara dan dunia.

 

 

KEDAULATAN (SOVEREIGNTY)

 

Definisi

Kedaulatan merujuk kepada kuasa yang mutlak, teragung atau tertinggi yang dipunyai oleh sesebuah negara di dalam wilayahnya dan ke atas penduduknya.

 

Menurut Hugo Grotius, kedaulatan merupakan kuasa politik yang tertinggi di mana segala keputusan yang diambil oleh sesebuah negara tidak boleh diatasi oleh sesiapa pun dalam wilayahnya.

 

Dugit mendefinisikan kedaulatan sebagai kuasa mutlak sesebuah negara untuk memberi perintah kepada seluruh rakyat yang bermastautin di dalam wilayahnya. Boleh dirumuskan bahawa kedaulatan bererti sesebuah negara boleh membuat apa-apa dasar dan melaksanakan apa-apa undang-undang dan memaksa rakyatnya mematuhinya.

 

Sesebuah negara boleh juga memaksa penduduknya membayar cukai atau mematuhi perintah yang dikeluarkan dan menghukum mereka yang enggan berbuat demikian.

 

Ciri-ciri

Kedaulatan mempunyai sifat-sifat seperti kekal, mutlak, tidak boleh dibahagikan dan menyeluruh (merangkumi).

 

Kedaulatan sesebuah negara adalah kekal abadi selagi negara itu masih wujud. Ini bermakna kerajaan sesebuah negara mungkin berubah, tetapi kedaulatannya kekal dan tidak berubah. Sebagai contoh, apabila Saddam Hussein menyerang dan menakluki Kuwait pada tahun 1990, negara itu tidak hilangkan kedaulatannya walaupun Iraq mentadbirnya buat sementara waktu.

 

Kedaulatan sesebuah negara juga mutlak. Ini bererti tiada sebarang kuasa atau badan boleh menghadkan/menyekat kuasanya. Sesebuah negara yang berdaulat berhak melaksanakan atau memansuhkan apa-apa undang-undang di dalam wilayahnya.

 

Kedaulatan tidak boleh dibahagikan antara lebih daripada seorang atau badan kerajaan. Sebagai contoh, dalam sesebuah negara yang mengamalkan corak pemerintahan persekutuan (federalisme), kedaulatan terletak di tangan kerajaan pusat dan bukan di tangan kerajaan-kerajaan negeri.

 

Kuasa untuk meluluskan undang-undang dalam sesebuah negara yang berdemokratik terletak di tangan badan perundangan (parlimen). Jika kedaulatan negara dipisahkan, maka ini akan menjejaskan perpaduan rakyat dan menyebabkan keruntuhan negara itu sendiri.

 

Kedaulatan sesebuah negara adalah juga merangkumi (menyeluruh). Dalam kata lain, di sesebuah negara autoriti pemerintah merangkumi semua rakyat, pertubuhan dan kumpulan yang terdapat dalam wilayahnya. Ini bererti tiada siapa pun dikecualikan daripada autoriti pemerintah dalam sesebuah negara.

 

Aspek kedaulatan

Terdapat dua aspek kedaulatan: kedaulatan dalaman (internal sovereignty) dan kedaulatan luaran (external sovereignty).

 

Kedaulatan dalaman bererti sesebuah negara yang bebas mempunyai kuasa mutlak ke atas rakyat dan wilayahnya (iaitu  mereka tertakluk kepada kawalannya). Ia mempunyai hak untuk mengeluarkan apa-apa perintah kepada semua individu serta pertubuhan di bawah kawalannya / jagaannya dan jika perlu, memaksa rakyatnya patuh kepada undang-undangnya.

 

Kuasa ini adalah mutlak dan tiada terdapat sebarang kuasa yang lebih tinggi daripada  itu, dalam wilayah itu yang boleh mencabar kedudukan kedaulatannya.

 

Kedaulatan luaran bermaksud setiap negara adalah bebas daripada kawalan atau pengaruh negara-negara lain. Dalam kata lain, sesebuah negara yang bebas tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa luar dan ia bebas daripada campur tangan atau paksaan daripada mana-mana kuasa luar.

 

Ia bebas untuk menjalankan hal-ehwalnya mengikut kehendaknya, mengadakan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan negara-negara lain  selaras dengan dasarnya. Walaupun sesebuah negara tertakluk kepada peruntukan-peruntukan sesuatu perjanjian/treati atau disekat oleh undang-undang antarabangsa, status (kedudukan) kedaulatannya tidak terjejas.

 

Jenis-jenis

Kedaulatan terdiri daripada pelbagai jenis: kedaulatan de jure, kedaulatan de facto, kedaulatan undang-undang (legal sovereignty), kedaulatan politik (political sovereignty); dan kedaulatan rakyat (popular sovereignty).

 

Kedaulatan de jure

De jure bermakna yang wujud dari segi undang-undang. Undang-undang merupakan asas kepada de jure sovereignty. Dalam kata lain, kedaulatan de jure merujuk kepada seorang pemerintah yang dianggap sebagai berdaulat / sahih dari segi undang-undang walaupun ia mungkin tidak menjadi raja / pemerintah sebenar atau memerintah sesebuah negara.

 

Ini bererti pemerintah itu diiktiraf oleh undang-undang negara. Oleh itu, pemerintah itu berhak untuk mengeluarkan perintah dan berhak menerima / menuntut rasa hormat daripada rakyat. Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah de jure di Malaysia.

 

Kedaulatan de facto

Istilah de facto bererti sesuatu yang tidak wujud di sisi undang-undang atau tidak diiktiraf oleh undang-undang, tetapi mempunyai kuasa sebenar. Seorang raja / pemerintah de facto merupakan seorang yang mempunyai kuasa sebenar (iaitu, menjadi pemerintah sebenar tetapi tidak diakui sebagai pemerintah berdaulat dari segi undang-undang). Misalnya, apabila Chiang Kai Shek digulingkan pada tahun 1949, pihak Komunis telah menjadi pemerintah de facto di China.

 

Contoh-contoh lain pemerintahan de facto ialah: Penggulingan yang dilakukan oleh Gen. Zia Ul-Haq di Pakistan (Perdana Menteri Zulfikar Ali  Bhutto digulingkan); Penggulingan yang dilakukan oleh Gen. Pervez Musharaaf di Pakistan (Perdana Menteri Nawaz Shariff digulingkan); Shah Pahlavi Iran digulingkan oleh kuasa rakyat (people’s power) dan Ayatollah Khmeini menjadi Ketua Negara. Perlu diingatkan bahawa rampasan kuasa merupakan cara yang popular bagi menggulingkan kerajaan-kerajaan / pemerintah-pemerintah de jure di Afrika.

 

Boleh dirumuskan bahawa de jure merupakan kedaulatan sah (legal) dari segi undang-undang. Ia mempunyai kuasa untuk memerintah negara. Kadangkala pemerintah de jure tidak berupaya memerintah manakala seorang lain yang tidak diiktiraf oleh undang-undang mendapat sokongan dan taat setia daripada rakyat dan memerintah negara. Pihak yang mempunyai kuasa yang sebenar dan memaksa rakyat patuh pada perintahnya atau mendapat sokongan daripada seluruh rakyat secara sukarela dikenali sebagai raja atau pemerintah de jure selepas ia diterima atau diiktiraf oleh kebanyakan rakyat atau negara.

 

Kedaulatan undang-undang

Kedaulatan jenis ini bererti sesuatu badan atau pemerintah yang mempunyai hak dan kuasa muktamad untuk menetapkan peraturan am dan undang-undang. Dalam kata lain, ia merujuk kepada badan / pemerintah yang diiktiraf sebagai sah oleh undang-undang.

 

Perlembagaan Malaysia mengiktiraf badan perundangan (parlimen) sebagai badan muktamad bagi meluluskan undang-undang di negara kita. Tiada badan lain yang boleh mengisytiharkan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen sebagai tidak sah.

 

Kedaulatan politik

Ia merupakan sesuatu yang berdaulat yang berada di belakang kedaulatan undang-undang. Misalnya, walaupun di Malaysia parlimen merupakan badan yang berdaulat dari segi undang-undang, kuasa yang sebenar terletak di tangan pengundi / pemilih. Pengundilah  yang memberi kuasa kepada parlimen (iaitu, pengundi memilih ahli-ahli parlimen dan memberi mereka kuasa untuk meluluskan undang-undang bagi pihak mereka).

 

Kedaulatan rakyat

Ini bererti kuasa muktamad / tertinggi terletak di tangan rakyat. Pendapat umum (public opinion) biasanya diambil kira oleh pemerintah kerana rakyatlah  yang memilih atau menyingkir sesebuah kerajaan. Dalam kata lain, rakyat mempengaruhi proses pembuatan keputusan, undang-undang serta  pentadiran sesebuah negara.

 

 

KELUHURAN UNDANG-UNDANG (RULE OF LAW)

 

Keluhuran undang-undang berlandaskan kepada kepercayaan bahawa proses kerajaan bersangkut paut dengan undang-undang. Ini bermakna  undang-undang adalah tertinggi dalam sesebuah negara. Sesebuah kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

 

Sebagai contoh, seorang Menteri tidak boleh masuk rumah saya secara paksaan tanpa apa-apa alasan: ia juga tidak dibenarkan memberkas saya tanpa kuasa yang sah. Undang-undang memberikan saya remedi (cara)  jika hak saya dicabuli. Keluhuran undang-undang wujud dalam sesebuah negara apabila penggunaan kuasa oleh pemerintah tertakluk kepada perbicaraan / pentafsiran di mahkamah biasa. Semua rakyat mempunyai hak untuk membawa sesuatu isu atau pertikaian terhadap kerajaan ke hadapan mahkamah untuk penyelesaian.

 

Keluhuran undang-undang bertujuan untuk mengelakkan kezaliman atau anarki. Ia bererti kuasa tidak boleh disalahgunakan atau digunakan secara sewenang-wenang  oleh pemerintah. Ia juga bermakna semua orang- miskin atau kaya, golongan terpelajar atau buta huruf, pemerintah atau yang diperintah – tertakluk kepada undang-undang yang sama – iaitu, semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang.

 

 

KEPERLEMBAGAAN (CONSTITUTIONALISM)

 

Keperlembagaan bererti kerajaan yang terbatas atau terhad. Dalam kata lain, keperlembagaan merujuk kepada sejauh mana kuasa kerajaan tersekat atau dihadkan, undang-undang negara dihormati dan hak asasi rakyat yang termaktub dalam perlembaaan terjamin.

 

Di sesebuah negara berdemokratik, perlembagaan menetapkan struktur, fungsi dan kuasa sesuatu institusi kerajaan (seperti badan perundangan, badan kehakiman, badan eksekutif, tentera, polis dan agensi-agensi kerajaan). Sesebuah Kerajaan dikehendaki mematuhi peraturan serta prinsip-prinsip yang terkandung dalam perlembagaannya.

 

Perlembagaan Malaysia menetapkan corak pemerintahannya. Hak-hak individu (kebebasan asasi) juga termaktub dalam perkara-perkara 5-13 perlembagaan kita. Ini adalah untuk memastikan hak-hak itu tidak dicabuli oleh kerajaan. Di samping itu, perlembagaan juga menghendaki kerajaan menjalankan kuasanya mengikut peruntukan dan lunas-lunas yang dinyatakan dalam  perlembagaan.

 

Sebagai contoh, Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara, dikehendaki menjalankan tugasnya mengikut nasihat kabinet. Perkara 43(4) menetapkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatannya dan ahli-ahli kabinetnya.

 

Tambahan pula, pihak Eksekutif tidak dibenarkan salah tadbir atau menyalahgunakan kuasa mereka. Mereka dikehendaki mematuhi / menghormati keluhuran undang-undang (rule of law). Semua rakyat tertakluk kepada undang-undang yang sama. Jadi, perlembagaan menghadkan kuasa sesuatu institusi kerajaan untuk memastikan kezaliman tidak berlaku;  untuk memastikan kerajaan tidak mencabuli kebebasan asasi rakyat; dan untuk memastikan kerajaan tidak menggunakan kuasanya secara sembarangan semata-mata.

 

 

KERAJAAN BERPRESIDEN (PRESIDENTIAL GOVERNMENT)

 

Definisi

Kerajaan berpresiden merupakan sebentuk kerajaan di mana pihak Eksekutif (yang terdiri daripada Ketua Negara {Presiden} dan ahli-ahli kabinetnya) tidak bertanggungjawab kepada badan perundangan.

 

Contoh

Contoh-contoh negara yang mengamalkan bentuk kerajaan berpresiden  ialah: Amerika Syarikat, Argentina, Perancis, Korea Selatan, Filipina, Brazil, Kenya, Mexico, Mesir, dll.

 

Ciri-ciri

a.   Di bawah sistem pemerintahan ini terdapat pemisahan kuasa di antara ketiga-tiga badan kerajaan: badan perundangan dan badan eksekutif merupakan dua badan yang berasingan – iaitu, di sini kuasa eksekutif dan kuasa legislatif adalah dipisahkan mengikut prinsip “checks and balances” (sekatan and imbangan). Pemisahan kuasa antara kedua-dua badan ini menjadi pelindung terhadap kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak serta kebebasan  rakyat jelata.

 

b.   Ketua eksekutif yang dikenali sebagai Presiden merupakan Ketua Negara serta Ketua Kerajaan. Kedua-dua kuasa nominal dan sebenar  digabungkan dan terletak di tangan seorang. Ini dikenali sebagai “Single Executive.”

 

c.   Ketua Eksekutif (Presiden)  merupakan wakil yang dipilih secara langsung oleh rakyat untk satu tempoh yang tertentu mengikut peruntukan perlembagaan: di Amerika Syarikat untuk empat (4) tahun sekali dan ia tidak boleh memegang jawatan lebih daripada  dua tempoh (lapan tahun berturut-turut) dan ia tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali melalui proses “impeachment” (kerana melakukan jenayah atau perbuatan yang lain) oleh Kongres. Ketua eksekutif bertanggungjawab hanya kepada pengundi (rakyat).

 

d.   Ketua-ketua jabatan-jabatan eksekutif (menteri-menteri) dan ketua-ketua agensi-agensi pentadbiran dilantik oleh presiden dan diusir olehnya. Menteri-menteri (yang dikenali sebagai Setiausaha {Secretaries}) adalah subordinat kepada Ketua Eksekutif dan hanya bertanggungjawab kepadanya dan mereka tidak menjadi ahli Kongres (kerana mereka tidak dipilih oleh rakyat). Tempoh jawatan / perkhidmatan mereka bergantung kepada kehendak hati Presiden.

 

e.   Badan perundangan tidak boleh dibubarkan sebelum tempohnya tamat. Presiden tidak mempunyai kuasa untuk membubarkannya.

 

f.    Di bawah bentuk pemerintahan ini, badan Eksekutif tidak mempunyai peluang langsung untuk menerangkan cadangan, dasar atau undang-undang atau pendiriannya tentang sesuatu isu / perkara kepada Kongres secara langsung: Presiden hanya boleh menghantar kepada Kongres cadangan-cadangannya seperti undang-undang termasuk “budget message” kepada Kongres untuk pertimbangan. Kongres boleh meminda atau menolak cadangan Presiden. Presiden dan kabinetnya tidak mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan di Kongres.

 

Kekuatan (Strengths)

a.  Sistem pemerintahan ini mewujudkan satu Eksekutif yang stabil dan mantap yang tidak bergantung kepada kehendak hati badan perundangan. Tempoh jawatan Eksekutif adalah ditetapkan oleh perlembagaan dan ini memastikan perjalanan kerajaan secara licin dan lancar dan terus serta dasar dan programnya semasa tempoh itu tanpa apa-apa halangan atau hambatan. Tambahan pula, satu tempoh yang tertentu memastikan kesinambungan dalam polisi serta program dan keberkesanan dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

 

b.  Pemisahan kuasa antara ketiga-tiga badan kerajaan yang terdapat dalam bentuk kerajaan ini merupakan satu pelindung yang berkesan terhadap kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan pencabulan  hak asasi rakyat.

 

c.  Dalam bentuk kerajaan ini, kuasa Eksekutif terpusat (centralised)  dan terletak di tangan presiden dan kabinetnya dan ini memudahkan pihak eksekutif merancang, menggubal serta melaksanakan program awam jangka panjang tanpa halangan atau dengan pantas tanpa campur tangan badan lain.

 

d.  Sistem kerajaan ini merupakan bentuk kerajaan perwakilan. Pengundi diberi kuasa dan peluang untuk memilih seorang ketua eksekutif negara yang paling berpengaruh dan berkuasa. Memandangkan ia dipilih oleh rakyat jelata, ketua eksekutif perlu mengambil kira atau memberi perhatian dan pertimbangan yang sewajar kepada kepentingan, kehendak dan hasrat rakyat.

 

e.  Di bawah sistem pemerintahan berpresiden, pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti pengurusan, pertahanan, perniagaan, kewangan, keselamatan, teknologi, hubungan antarabangsa dan undang-undang (termasuk mereka yang terdiri daripada parti pembangkang) boleh dilantik sebagai ahli kabinet atau sebagai ketua jabatan eksekutif untuk membantu presiden menjalankan tugas serta tanggungjawabnya secara berkesan. Mereka dianggap sebagai tulang belakang pemerintahan.

 

f.   Di bawah sistem politik ini, semangat parti tidak menjadi dominan atau berpengaruh dalam kerajaan dan lantaran itu merit memainkan perananyang  lebih penting daripada hubungan parti.

 

g.  Bentuk kerajaan ini lebih berkesan semasa keadaan darurat, kemelesetan atau kegawatan ekonomi. Ini adalah kerana presiden mempunyai kuasa eksekutif yang tertinggi dan ia boleh mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.

 

h.  Sistem kerajaan bercorak presiden adalah lebih sesuai bagi negara-negara di mana penduduknya terdiri daripada berbilang kaum dengan pelbagai kepentingan, budaya, tradisi dan sejarah.

 

Kelemahan (Weakness)

a.  Kerajaan berpresiden merupakan sebentuk kerajaan yang tidak bertanggungjawab kerana eksekutif adalah bebas daripada badan perundangan (iaitu, berada di luar badan perundangan). Ini bermakna eksekutif tidak tertakluk kepada kawalan atau jagaan badan perundangan. Oleh itu, Ketua Eksekutif boleh menggunakan kuasanya secara sembarangan semata-mata dan ini mungkin boleh menjejaskan kepentingan, kehendak dan hasrat rakyat.

 

b.  Satu lagi kelemahan yang terdapat dalam bentuk kerajaan ini ialah kegagalannya untuk memastikan kerjasama dan harmoni di antara eksekutif dan badan perundangan. Kebuntuan (stalemate) sering berlaku antara eksekutif dan Kongres, terutamanya apabila ketua Eksekutif terdiri daripada parti politik yang tidak mempunyai majoriti di kedua-dua badan perundangan. Keadaan buntu (deadlock) boleh menjejaskan perjalanan kerajaan secara licin dan lancar. Undang-undang, program dan dasar awam tidak dapat dilaksanakan seperti terancang dan mengikut kehendak kerajaan / Ketua Eksekutif kerana penolakannya oleh badan perundangan.

 

c.  Bentuk kerajaan berpresiden merupakan satu sistem politik yang terlalu ketat dan kaku. Apabila seseorang presiden dipilih, dia tidak boleh dipecat walaupun rakyat tidak selesa dan tidak berpuas hati dengan dasar dan pentadbirannya. Dibawah sistem ini, peruntukan perlembagaan mengenai tempoh jawatan presiden perlu dipatuhi. Presiden hanya boleh diusir melalui “impeachment process”, jika ia terlibat dalam perbuatan jenayah.

 

d.  Kuasa veto (pembatalan) yang dipunyai oleh Presiden (di bawah perlembagaan) merupakan satu lagi kelemahan yang ada pada corak pemerintahan ini. Jika Presiden tidak berpuas hati dengan undang-undang yang diluluskan oleh Kongres, ia boleh menolaknya dengan menggunakan kuasa veto ini. Ini boleh menimbulkan masalah politik jika undang-undang yang dianggap sebagai berguna bagi negara oleh kebanyakan wakil rakyat ditolak. Ini boleh disifatkan sebagai sesuatu yang tidak berdemokratik.

 

e.  Sistem pemerintahan berpresiden tidak sesuai untuk menjalankan dasar luar negara secara berkesan. Ini adalah kerana Presiden perlu mendapat sokongan dan kerjasama badan perundangan untuk mengikat sesuatu perjanjian antarabangsa atau memberi bantuan tentera atau mengambil tindakan tentera terhadap negara-negara lain. Jika seseorang Presiden dan badan perundangan selalunya bermusuhan atau bertentangan satu sama lain, pelaksanaan dasar luar negara akan terjejas.

 

 

KERAJAAN UNITARI (UNITARY GOVERNMENT)

 

Definisi

Kerajaan Unitari merupakan sebuah kerajaan di mana semua autoriti politik terletak di tangan satu badan yang dikenali sebagai kerajaan kebangsaan atau kerajaan pusat. Kerajaan pusat ini mempunyai satu badan perundangan yang berupaya meluluskan apa-apa undang-undang mengikut kehendaknya. Unit-unit yang terletak di bawah bentuk kerajaan ini (seperti penguasa tempatan atau kerajaan regional) tertakluk kepada kawalannya.

 

Contoh

United Kingdom, Perancis, Belgium, Jepun, New Zealand, Singapore, dll merupakan negara-negara unitari.

 

Ciri-ciri

a.   Dalam bentuk kerajaan ini, perlimen merupakan badan yang tertinggi dan boleh meluluskan apa-apa undang-undang  bagi seluruh negara mengikut kehendaknya.

 

b.   Semua unit di bawah kerajaan ini tidak mempunyai apa-apa autoriti kecuali apa yang diberikannya oleh parlimen. Kuasa yang diwakilkan kepadanya boleh ditarik balik oleh kerajaan pusat bila-bila masa.

 

c.   Sesebuah negara unitari terbahagi kepada wilayah / kawasan / unit-unit kecil (seperti penguasa tempatan) bagi kesenangan pentadbiran. Unit-unit itu merupakan agen-agen kerajaan pusat. Parlimen mewakilkan kuasa kepadanya dari masa ke semasa mengikut sesuatu keadaan dan keperluan. Semua unit ini boleh dibubarkan bila-bila masa mengikut kehendak kerajaan pusat.

 

d.   Pemusatan kuasa di tangan karajaan pusat merupakan satu lagi ciri yang penting corak pemerintahan ini. Kerajaan jenis ini mempunyai autoriti ke atas seluruh negara dan undang-undangnya adalah untuk semua negara.

 

Kebaikan (Advantages)

a.      Kesamaan (uniformity)  undang-undang, dasar dan pentadbiran merupakan salah satu kebaikan sistem kerajaan ini. Ini bererti seluruh negara tertakluk kepada undang-undang yang sama dan ini memudahkan perjalanan kerajaan secara licin dan lancar.

 

b.      Oleh kerana semua unit di bawah kerajaan ini diwujud dan diwakilkan kuasa oleh kerajaan pusat, unit-unit tidak boleh berpisah daripadanya. Ini menjamin kestabilan politik dan perpaduan negara.

 

c.      Sistem pentadbiran bentuk kerajaan ini adalah terlalu mudah, fleksibel dan juga “economical”. Mentadbir unit-unit kecil di bawah kerajaan pusat adalah mudah dan tidak melibatkan perbelanjaan tinggi (perbelanjaan murah) kerana tiada duplikasi institusi-institusi politik atau personel.

 

d.      Sistem kerajaan ini merupakan satu sistem yang bersepadu. Lantaran itu, tiada perselisihan faham atau pertikaian antara kerajaan pusat dan unit-unit di bawah kawalannya, seperti terdapat dalam sesebuah kerajaan berbentuk persekutuan di mana kuasa dikongsi antara dua peringkat kerajaan – iaitu, kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri.

 

e.      Sesebuah kerajaan unitari adalah lebih berkuasa semasa perang dan dalam mengendalikan hubungan/hal ehwal  luar. Ini adalah kerana semasa perang, usaha bersepadu serta keputusan pantas perlu diambil untuk menangani keadaan. Ini boleh dibuat dengan mudah di bawah sistem unitari.

 

Keburukan (Disadvantages)

a.   Pemusatan kuasa di tangan kerajaan pusat merupakan salah satu ciri kerajaan ini. Kezaliman boleh berlaku jika  kerajaan menyalahgunakan kuasanya atau menggunakan kuasanya sewenang-wenangnya. Pemusatan kuasa boleh juga mencabuli hak-hak asasi rakyat.

 

b.   Kepentingan serta keperluan tempatan diabaikan dalam sistem ini kerana ketiadaan kerajaan tempatan yang kukuh. Kerajaan pusat membuat semua keputusan mengenai hal-ehwal tempatan dan pihak penguasa tempatan tidak dapat membuat sesuatu keputusan mengikut keadaan dan daya usahanya sendiri. Perjalanan kerajaan tempatan tertakluk kepada pengawasan kerajaan pusat.

 

c.   Sering kali kerajaan pusat tidak menyedari tentang masalah yang dihadapi oleh unit-unit di bawahnya kerana ia tidak mempunyai “first hand knowledge” (maklumat langsung). Oleh itu, ia tidak dapat bertindak dengan pantas bagi menangani masalah tempatan.

 

d.   Di bawah sesuatu sistem unitari, kerajaan pusat dibeban dengan tanggungjawab yang berat dan keadaan ini boleh menjejaskan perjalanan jentera pentadbiran kerajaan. Ketidakcekapan serta perbuatan rasuah boleh juga berlaku.

 

e.   Sistem pemerintahan ini tidak sesuai bagi sesebuah negara majmuk (yang mempunyai rakyat berbilang kaum, agama, bahasa dan tradisi). ini adalah kerana kaum minoriti mungkin menuntut autonomi (kebebasan) dalam hal-ehwal tempatan.

 

 

KUASA (POWER)

 

Kuasa boleh ditakrifkan sebagai kebolehan untuk mempengaruhi tingkah laku orang lain mengikut naluri atau kehendak seseorang. Kuasa boleh juga didefinisikan sebagai kebolehan seseorang memaksa orang / negara lain untuk berbuat sesuatu melalui pujukan, pemberian, janji atau paksaan walaupun mereka enggan berbuat demikian.

 

Biasanya, kuasa digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat atau kehendak seseorang; menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapat sokongan daripada rakyat atau negara-negara lain atau untuk melaksanakan sesuatu dasar atau untuk mencapai kepentingan sesebuah negara.

 

Jenis-jenis

Terdapat lima jenis kuasa: kuasa fizikal, kuasa psikologi, kuasa ekonomi, kuasa peribadi (personal power), kuasa yang  sah (legitimate power).

 

Kuasa fizikal merujuk  kepada kekuatan tentera sesebuah negara. Amerika Syarikat merupakan kuasa terbesar hari ini kerana kekuatan teknologi tenteranya.

 

Kuasa psikologi merujuk kepada kuasa ke atas pendapat orang ramai. Ia terdiri daripada alat simbolik seperti propaganda, media massa dan pameran kelengkapan ketenteraan semasa Hari Kemerdekaan sesebuah negara.

Kuasa jenis ini digunakan untuk mempengaruhi pendapat serta tindakan orang ramai dan untuk melemahkan / mematahkan semangat negara musuh dengan menyebarkan maklumat palsu dan yang mengelirukan di kalangan rakyat negara yang bermusuhan.

 

Kuasa ekonomi ialah kebolehan untuk mangawal tingkah laku negara-negara lain dengan mempunyai lebih banyak kuasa ke atas barang-barang dan perkhidmatan. Negara-negara maju berupaya mempengaruhi negara-negara miskin dan mundur dengan memberi bantuan kewangan dan teknikal.

 

Sesebuah negara yang maju mempunyai kebolehan membeli dan menjual dan ini boleh digunakan untuk meningkatkan kuasa sesebuah negara melalui proses globalisasi atau perdagangan antarabangsa. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman,  United Kingdom dan Kesatuan Eropah  menguasai perdagangan global melalui kuasa ekonomi mereka.

 

Kuasa peribadi merujuk kepada kuasa yang dipunyai oleh seseorang pemimpin bagi mempengaruhi tingkah laku rakyat jelata. Sukarno, Nehru, Mahatma Gandhi, Gamal Nasser, Nkrumah, Martin Luther King. Jr, dll telah mempunyai kuasa peribadi dan telah berjaya mendapat sokongan daripada sebilangan rakyat mereka untuk perjuangan politik mereka tanpa menggunakan kekerasan (non-violent struggle).

 

Kuasa legitimate  merujuk kepada kuasa yang sah disisi undang-undang. Mereka yang mempunyai kuasa ini berhak mengeluarkan perintah, menghukum orang jika mendapati bersalah dan menguatkuasakan apa-apa undang-undang atau dasar. Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, dll mempunyai kuasa yang sah.  Di Malaysia, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dilantik mengikut peruntukan perlembagaan. Mandat yang diberikan kepada pemimpin oleh rakyat semasa pilihanraya umum diadakan juga boleh dianggap sebagai kuasa yang sah.

 

 

LEGITIMASI / KEABSAHAN (LEGITIMACY)

 

Legitimasi bererti sejauh mana rakyat jelata menerima sesebuah kerajaan dan institusinya (seperti kabinet, parlimen, perkhidmatan awam, polis, tentera, badan kehakiman, dll) dan pemimpin, dasar, undang-undang dan perintahnya. Jika sebilang besar (majoriti) rakyat di sesebuah negara mematuhi perintah atau arahan pemimpin tanpa apa-apa bantahan atau persoalan, pemerintah serta kerajaan yang dipimpinnya dianggap sebagai sah atau legitimate.

 

Legitimasi  ada kaitan dengan sistem politik serta golongan dalam sesebuah masyarakat. Sesebuah kerajaan  yang diterima umum, boleh dianggap sebagai mempunyai autoriti dan legitimasi.

 

Legitimasi boleh juga didefinisikan sebagai hak untuk memerintah atau mentadbir sesebuah kerajaan dan mengeluarkan sesuatu perintah dan mengamalkan dasar demi kepentingan rakyat. Hak ini diberikan oleh rakyat kepada pemimpin melalui mandat semasa pilihanraya umum diadakan. Dalam kata lain, rakyatlah yang memberi legitimasi kepada sesebuah kerajaan. Tanpa sokongan rakyat sesebuah kerajaan tidak akan mempunyai legitimasi – ia akan hilang legitimasinya.

 

Bagaimana sesebuah kerajaan boleh mendapat dan hilangkan legitimasinya?

Sesebuah kerajaan boleh mendapat legitimasi melalui sifat-sifat murni seseorang pemimpin seperti kebolehan untuk menyelesaikan sesuatu masalah sosial dan ekonomi negara secara berkesan dan dengan mentadbir negara dengan baik (iaitu, dengan memastikan pembangunan serta ekonomi negara diberi keutamaan; mempertahankan negara dari ancaman luar; menjaga keamanan,  keselamatan dan melindungi kedaulatan negara; menjaga kepentingan serta hak golongan majoriti serta golongan minoriti; mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua rakyat, memerangi rasuah,  membasmi kemiskinan di kalangan rakyat,  dan memerintah negara dengan adil dan saksama).

 

Kerajaan yang wujud dan kekal selama-lamanya dihormati oleh rakyat. Struktur sesebuah kerajaan dan kepatuhan kepada prinsip-prinsip utama yang termaktub dalam perlembagaan (constitutionalism) boleh menyumbang kepada legitimasinya. Jika rakyat berpendapat dan percaya bahawa mereka diwakili dan ditadbir secara adil dan sama rata dan mempunyai hak untuk memilih pemimpin mengikut kehendak mereka atau berpuas hati dengan corak dan cara pemerintahan, amalan dasar, kemantapan dan kemajuan negara, mereka akan mempunyai rasa hormat terhadap kerajaan. Pilihanraya yang bersih dan adil boleh juga memastikan legitimasi sesebuah kerajaan dikekal selama-lamanya.

 

Sesebuah kerajaan boleh hilangkan legitimasinya jika pemimpin-pemimpinnya tidak bersih, cekap, amanah dan tidak jujur, tidak telus dan tidak mempunyai keupayaan untuk memerintah secara berkesan dan adil, tidak mempunyai kebolehan serta kebijaksanaan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi negara, atau tidak mementingkan kehendak serta kepentingan rakyat jelata. Marcos di Filipina, Alberto Fujimori di Peru, Richard Nixon di Amerika Syarikat, Josef Estrada di Filipina, Pinochet di Chile, Shah Reza Pahlavi di Iran telah hilangkan autoriti mereka dan rejim (kerajaan) mereka telah ditolak oleh kebanyakan rakyat kerana rasuah yang berleluasa, penyalahgunaan kuasa, kezaliman, salah tadbir,  tidak jujur dan tidak telus.

 

MONARKI / PEMERINTAHAN BERAJA (MONARCHY)

 

Monarki merupakan sebentuk kerajaan di mana kuasa negara (kedaulatan) terletak di tangan seorang raja. Dalam bentuk pemerintahan ini, seorang raja, ratu atau maharaja (emperor) mempunyai hak untuk memerintah seumur hidup dan hak ini merupakan hak turun-temurun (hereditary).

 

Terdapat dua jenis monarki: monarki mutlak (absolute monarchy) dan monarki berperlembagaan (constitutional monarchy).

 

Monarki mutlak merujuk kepada sebentuk kerajaan di mana seorang raja mempunyai kuasa politik yang tidak terbatas untuk memerintah negaranya. Dalam bentuk kerajaan ini, raja memegang semua kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman. Setiap undang-undang adalah di bawah kuasa dan kelulusannya dan dialah punca / sumber kedaulatan.

 

Di zaman pemerintahan monarki mutlak di negara-negara Eropah pada kurun kelima dan keenam telah dipercayai bahawa kuasa raja itu diturunkan oleh Tuhan (iaitu, kuasa untuk  memerintah datang daripada Tuhan). Oman, Swaziland, Arab Saudi dan Brunei Darussalam merupakan contoh negara-negara yang mengamalkan monarki mutlak.

 

Pemerintahan berrcorak monarki mutlak mempunyai ciri-ciri positif seperti tindakan cepat dan pantas, kesinambungan dan kekonsistenan dalam dasar awam. Semua ini adalah dikehendaki bagi mentadbir sesebuah negara secara berkesan, khususnya semasa kecemasan dan krisis nasional.

 

Oleh kerana semua kuasa kerajaan – kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman dan ketenteraan – terletak di tangan raja, ia berkebolehan untuk melaksanakan dasar yang mantap dan mentadbir negaranya secara cekap dan berkesan. Namun demikian, apabila seseorang raja mempunyai kuasa yang mutlak, ia boleh membahayakan negara.  Ini akan berlaku apabila raja tidak peka atau prihatin atau responsif terhadap  kepentingan dan keperluan rakyat dan mentadbir sewenang-wenangnya. Kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab raja boleh menjadikan rakyat memberontak dan berikutan itu negara mungkin akan berada dalam keadaan huru-hara dan anarki.

 

Monarki berperlembagaan bermaksud sebentuk kerajaan di mana kuasa seseorang raja ditetapkan oleh perlembagaan. Raja yang merupakan ketua negara dikehendaki menjalankan tugas serta tanggungjawabnya mengikut kuasa yang diberikannya di bawah perlembagaan.

 

Dalam kata lain, raja berperlembagaan perlu berkongsi kuasa kerajaan dengan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat. Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong yang merupakan raja berperlembagaan, dikehendaki menjalankan fungsinya mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia – iaitu, bertindak mengikut nasihat kabinet (artikel 40). Great Britain, Sweden, Norway, Denmark, Belanda, New Zealand, Nepal, Bahamas dan Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

 

Di bawah bentuk kerajaan ini, pemerintahan dijalankan berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi dan juga mengikut lunas-lunas yang terkandung dalam perlembagaan. Hak asasi manusia terjamin dan kepentingan golongan majoriti serta golongan minoriti dilindungi.

 

 

PERLEMBAGAAN (CONSTITUTION)

Perlembagaan merupakan sesuatu peraturan, bertulis atau tidak bertulis, yang menetapkan struktur negara serta kerajaan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan (seperti badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman) dan hubungan antara yang memerintah dan yang diperintah.

 

The Oxford English Dictionary mendefinisikan perlembagaan sebagai sistem atau prinsip-prinsip asas mengikut mana sesebuah negara dibentuk dan diperintah. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi sesebuah negara dan ia mengandungi lunas-lunas mengenai pemerintahan sesebuah negara.

 

Tujuan perlembagaan ialah untuk menghadkan kuasa sesebuah kerajaan dengan sesuatu undang-undang asas bagi memastikan proses kerajaan berjalan lancar tanpa apa-apa hambatan; mengelakkan kezaliman dan hura-hara dalam negara; melindungi dan menjamin hak-hak asasi rakyat; mencerminkan nilai, ideologi dan matlamat sesebuah negara;  untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan; dan untuk memastikan kesinambungan kerajaan. 

 

Perlembagaan terbahagi kepada empat jenis: perlembagaan bertulis (written or coded);perlembagaan tidak bertulis (unwritten or uncoded); perlembagaan kaku (rigid) dan perlembagaan fleksibel / anjal (flexible).

 

Perlembagaan bertulis (written) dan perlembagaan tidak bertulis (unwritten). Sila lihat “Contoh Jawapan bagi Soalan Peperiksaan” dalam laman web saya.

 

Perlembagaan kaku merupakan sesuatu perlembagaan yang tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya atau secara mudah. Ia memerlukan satu tatacara/proses  yang khas dan agak rumit atau ketat.

 

Perlembagaan Amerika Syarikat, India dan Malaysia adalah dianggap sebagai kaku. Di Amerika Syarikat, undang-undang perlembagaan adalah dibezakan dengan undang-undang biasa. Satu prosedur yang khas dan ketat ditetapkan bagi meminda perlembagaannya. Peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan Amerika Syarikat hanya boleh dipinda apabila dua pertiga (2/3) ahli-ahli daripada kedua-dua badan perundangan, iaitu, Senate dan House of Representatives, menyokongnya serta diluluskan (diratifikasikan) oleh tiga perempat (3/4) Dewan Perundangan Negeri (iaitu, 38 buah negeri daripada 50 buah negeri). Sebaliknya, undang-undang biasa diluluskan oleh kedua-dua badan perundangan (Congress) dengan “simple majority” (51%).

Di Malaysia, sesuatu peruntukan dalam  perlembagaan hanya boleh dipinda dengan kelulusan dua pertiga ahli-ahli daripada kedua-dua badan perundangan iaitu, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Kebaikan

Salah satu kebaikan perlembagaan kaku ialah ia tidak boleh dipinda mengikut kehendak peribadi atau naluri seseorang pemimpin. Tatacara yang ketat untuk memindanya menjadikannya tetap dan mantap. Satu lagi kebaikannya ialah hak asasi rakyat serta kepentingan golongan minoriti dan juga golongan majoriti adalah terjamin kerana semuanya adalah termaktub dalam perlembagaan.

 

Tambahan pula, perlembagaan kaku merupakan perlembagaan yang bertulis dan lantaran itu, semua prinsip adalah terkandung dalam satu dokumen secara jelas.

 

Keburukan

Perlembagaan kaku tidak boleh dipinda mengikut keadaan dan keperluan sesebuah negara. Ia adalah terlalu konservatif. Selain itu,  sesuatu perlembagaan kaku tidak boleh dianggap sebagai mencerminkan keperluan, pengalaman serta pendirian atau fikiran rakyat. Kesukaran untuk memindanya boleh menjejaskan kepentingan negara. Ia juga tidak boleh diubahusaikan mengikut keadaan sosial, politik dan ekonomi yang sentiasa berubah-ubah.

 

Ciri-ciri sesuatu perlembagaan yang baik. Sila lihat “Contoh Jawapan bagi Soalan Peperiksaan” dalam laman web saya.

 

 

UNDANG-UNDANG (LAW)

Definisi dan fungsi.

Sila lihat  nota mengenai “LAW”   dalam laman web saya.

 

Sumber (Sources) undang-undang.

Undang-undang merupakan produk pertumbuhan dan perkembangan. Ia berkembang melalui beberapa peringkat evolusi dan beberapa faktor telah memainkan peranan dalam perkembangannya. Faktor-faktor yang telah menyumbang kepada perkembangan undang-undang dikenali sebagai sumber-sumber (asal-usul) undang-undang. Terdapat enam (6) sumber undang-undang : (a)adat resam (b)agama (c)keputusan mahkamah (d)komentar saintifik (e)ekuiti (f)perundangan.

 

Adat resam

Adat merupakan sumber undang-undang yang terawal sekali. Dalam masyarakat yang masih kuno, semua pertikaian masyarakat telah diselesaikan dengan berpandukan kepada adat resam atau “social customs” yang dianuti pada masa itu. Misalnya, adat pepatih merupakan salah satu daripada undang-undang asal bagi Negeri Sembilan.

 

Adat resam boleh didefinisikan sebagai peraturan-peraturan yang diterima umum dan diikuti kerana kebergunaannya. Peraturan-peraturan ini, apabila diiktiraf oleh pihak pemerintah, menjadi undang-undang. Common Law di England (hukum adat) terutamanya terdiri daripada adat resam.

 

Agama

Dalam masyarakat primitif, semua peraturan dalam kehidupan berkait rapat dengan hukum agama. Fungsi-fungsi bapa, ketua puak dan raja telah berasaskan kepada hukum / rukun agama. Undang-undang Hindu mengenai harta pusaka dan perkahwinan berdasarkan kod (kanun) Manu.

 

Begitu juga undang-undang perseorangan Islam (Muslim) berasal dari undang-undang Syariah (perkara-perkara seperti keluarga, perkahwinan, perceraian, zakat dan harta pusaka) yang berasaskan kepada Al-Quran dan Hadis.

 

Keputusan Mahkamah

Kebanyakan pertikaian yang dirujuk kepada mahkamah diputuskan oleh para hakim. Dalam membuat sesuatu keputusan, mereka meneliti undang-undang yang sedia ada dan mentafsirkannya berasaskan kepada fakta-fakta tentang sesuatu kes. Keputusan mereka menjadi pedoman bagi kes-kes yang serupa itu pada masa hadapan. Semua keputusan dan asas-asas serta prinsip-prinsip sesuatu kes yang diputuskan mempengaruhi undang-undang. Oleh itu, case law merupakan salah satu sumber undang-undang.

 

Komentar Saintifik

Para juris atau pakar-pakar undang-undang telah menulis komentar (ulasan) mengenai interpretasi (tafsiran) undang-undang. Mereka telah mengkaji adat resam, keputusan mahkamah yang lama dan telah memberi pandangan mengenai sesuatu istilah dan perkara undang-undang dan implikasinya. Komentar yang ditulis oleh Blackstone dan A.V.Dicey tentang Perlembagaan Britian dan Kent mengenai Perlembagaan Amerika Syarikat dihormati, dirujuk dan diterima oleh peguam serta para hakim. Apabila mahkamah dan para hakim kerap kali menerima atau menggunapakai  pendapat pakar-pakar, ia menjadi sebahagian daripada udang-undang. Lantaran itu, komentar pakar-pakar dianggap sebagai salah satu sumber undang-undang.

 

Ekuiti (Equity)

Istilah ”ekuiti” bermakna kesaksamaan atau keadilan atau berpatutan. Ia merupakan undang-undang yang diperbuat oleh para hakim (judge-made law). Seseorang hakim perlu memastikan terdapat keadilan atau kesaksamaan (fairness) apabila mentafsirkan sesuatu undang-undang.

 

Ekuiti adalah bertujuan untuk memberi kelegaan (relief) apabila undang-undang yang sedia ada tidak mengandungi apa-apa peruntukan mengenai sesuatu perkara. Ekuiti telah didefinisikan sebagai “kaedah yang tidak rasmi bagi membuat undang-undang baru atau meminda undang-undang lama, bergantung kepada keadilan atau kesaksamaan.

 

Perundangan (Legislation)

Perundangan merupakan sumber undang-undang yang terpenting. Ia merujuk kepada undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh wakil-wakil rakyat yang menjadi ahli-ahli badan perundangan (parlimen). Di negara-negara moden, pelbagai undang-undang dilaksanakan dan rakyat dikehendaki mematuhinya. Contoh-contoh undang-undang yang terdapat di Malaysia ialah: Akta Cukai Pendapatan 1967; Akta Dadah Merbahaya 1952 (dipinda 1980); Kanun Jenayah 1997; Akta Keganasan Rumah Tangga 1994; Anti-Corruption Act 1997.

 

Jenis - Jenis.

Undang-undang dibahagikan kepada: Undang-Undang Antarabangsa (International Law) dan Undang-Undang Nasional (National or Municipal Law).

 

Undang-Undang Antarabangsa

Ia merupakan undang-undang yang mengawal hubungan antara negara- negara yang berdaulat.

 

Contoh-contoh ialah: Geneva Convention 1949; Convention on the Law of the Sea; Vienna Convention on Diplomatic Privileges,1961.

 

Undang-Undang Nasional merujuk kepada undang-undang yang dilaksanakan di sesebuah negara moden. Ia terdiri daripada undang-undang perlembagaan (constitutional law) yang merupakan undang-undang tertinggi sesebuah negara yang menetapkan kuasa, struktur dan fungsi badan-badan kerajaan, kewajipan serta hubungan antara mereka yang memerintah dan mereka yang diperintah; dan undang-undang biasa (ordinary law) yang merupakan undang-undang yang rendah daripada undang-undang perlembagaan. Undang- undang biasa meliputi semua undang-undang yang dikuatkuasakan dalam sesebuah negara kecuali undang-undang perlembagaan.

 

Undang-undang biasa selanjutnya terbahagi kepada undang-undang awam (public law) dan undang-undang persendirian (private law).

 

Undang-undang awam merupakan sebagian daripada undang-undang biasa. Ia berkaitan dengan hubungan antara seseorang individu dan kerajaan dan mengawal tingkah laku di antara seseorang individu dan pihak berkuasa negara.

Undang-undang awam selanjutnya terbahagi kepada undang-undang pentadbiran (administrative law) dan undang- undang am (general law).

 

Undang-undang pentadbiran yang merupakan sebahagian daripada undang-undang awam bertujuan untuk mengawal tingkah laku pegawai-pegawai atau penjawat awam. Undang-undang ini ditadbir oleh pelbagai tribunal pentadbiran (seperti Tribunal Tanah, Tribunal Tuntutan Pengguna, Tribunal  Pembeli Rumah,dll). Mahkamah biasa tidak terlibat dalam pentadbiran / pengendalian undang-undang ini.

 

Undang-undang am berkaitan dengan hubungan antara orang-orang awam dan pihak pegawai awam. Undang-undang am yang merupakan sebahagian daripada undang-undang awam adalah berkaitan dengan hubungan antara perseorangan dan pihak berkuasa negara.

 

Undang-undang persendirian mengawal hubungan antara seorang individu dan seorang individu lain. Pemerintah tidak terlibat dalam undang-undang ini. Ia meliputi undang-undang mengenai perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, kontrak, transaksi perdagangan dan perniagaan dan pewarisan.

 

 

© Copyright Peter Johnson 1996-2008